Terokai Kehijauan Alam Herba di Tengah Bandar

Taman Herba Negeri Perak adalah unik dan menarik. Selain menyajikan panorama tasik dan bukit yang indah dan cantik, udaranya sentiasa segar dan berangin kerana dikelilingi pohon-pohon kecil, besar dan rendang. Ia merupakan tempat yang sangat sesuai untuk dikunjungi pada masa lapang anda bersama keluarga dan rakan-rakan.

Pengalaman pertama apabila anda menjejakkan kaki ke Taman Herba Negeri Perak adalah melihat pemandangan taman yang indah dan mengasyikkan. Sekiranya bertuah, anda akan disambut oleh sekumpulan rama-rama yang terbang riang di pohon hijau sekitar pintu masuk utama seperti menyambut kedatangan anda. Tentunya, jangan dilupakan kamera dan telefon pintar anda untuk merakam kecantikan dan keunikan dunia herba dan flora! Berselfielah!


Melangkah masuk ke taman yang kaya dengan khazanah alam semulajadi ini, tempat pertama dan paling mudah yang anda boleh lihat adalah papan tanda utama Kod QR serta peta keseluruhan taman. Jika inginkan perjalanan lebih mudah, imbas Kod QR tersebut dan beberapa panduan di dalam web ini akan memberikan anda pandu arah untuk bergerak menuju ke destinasi yang anda ingin lawati.

Taman Herba Negeri Perak yang bersifat mesra pengunjung memerlukan pengunjung untuk berjalan kaki dan berbasikal. Apabila anda mula melangkah kaki atau mengayuh basikal, anda akan melihat kolam besar di sebelah kiri dan kanan yang dijadikan tempat lubuk si pemancing ikan dan penggemar aktiviti kayak. 

Sambil berjalan hayati dan jiwailah pokok-pokok herba yang ada di sekitar anda kerana padanya terdapat label nama, khasiat dan kegunaan yang sebenarnya dapat membantu anda meningkatkan lagi kesihatan hidup.

Kongsikan pengalaman anda semasa berada di Taman Herba Negeri Perak bersama kami; sertakan butiran peribadi, alamat anda serta hantarkan ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.. Dapatkan cenderahati menarik dari Taman Herba Negeri Perak.