Taman Herba Perak dijenama semula

IPOH 18 Sept. - Taman Herba Negeri Perak bakal dijenamakan semula serta dibangunkan dengan infrastruktur lebih lengkap bagi menjadikannya sebagai Pusat Pembangunan Industri Herba di bawah Rancangan Malaysia Ke-11(RMK-11) selari dengan komitmen kerajaan untuk memajukan bidang berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, taman berkenaan bukan sahaja bakal menjadi pusat penyelidikan kepada pelbagai spesies herba, malah akan disuntik dengan nilai tambah agropelancongan melalui pewujudan inap desa dan spa secara berperingkat-peringkat.

110 Tahun Jabatan Pertanian

“Kerajaan negeri telah merancang serta melaksanakan pelbagai aktiviti di peringkat huluan dan hiliran yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bagi membangunkan industri herba.

“Selain itu, kita juga telah merancang untuk menjadikan Perak sebagai Lembah Makanan. Sehubungan itu, kerajaan negeri akan membangunkan industri buah-buahan tempatan dengan memberi fokus kepada buah-buahan terpilih termasuk nangka dan nanas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan 110 tahun Jabatan Pertanian dan Karnival Herba di Taman Herba Negeri Perak di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Zabidi Dun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Datuk Dr. Zabri Abd. Wahid.

Dalam pada itu, Saarani berkata, bagi meningkatkan pengeluaran bahan makanan di negeri ini, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang baharu di Bukit Sapi, Perlop dan Degong akan dibangunkan untuk menampung kawasan sedia ada di Lekir, Gua Tempurung dan Titi Gantung.

Menurut beliau, Perak ketika ini merupakan negeri pengeluar buah-buahan keempat tertinggi di Malaysia dengan pengeluaran sebanyak 98,000 metrik tan melibatkan kawasan ladang seluas 18,000 hektar pada tahun lalu.

“Cabaran paling getir dihadapi sektor agromakanan ialah sumber tanah yang amat terhad dan sesuai untuk aktiviti pertanian. Perkara ini disulitkan lagi dengan isu tanah yang terbiar serta tidak diusahakan.

“Berdasarkan sumber Jabatan Pertanian, terdapat 5,260 lot tanah terbiar melibatkan kawasan seluas 14,506.92 hektar. Sebanyak 5,046 pemiliknya telah dikenal pasti dengan kerjasama daripada Pejabat Daerah dan Tanah. Namun, sehingga kini, hanya 119.24 hektar tanah yang dipersetujui oleh pemiliknya untuk dibangunkan,” katanya.

Sumber Asal: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/perak/taman-herba-dijenama-semula-1.137575