Perak Berhasrat Tingkat Pengeluaran Hasil Herba

IPOH: Selain menjadikan Negeri Perak sebagai ‘food valley’ (lembah makanan) seperti saranan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, negeri ini turut berhasrat untuk mempertingkatkan pengeluaran herbanya.

Hasrat itu diluahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Saarani Mohamad ketika ditemui selepas Majlis Sambutan 110 Tahun Jabatan Pertanian dan Karnival Herba, di Taman Herba Negeri Perak, pagi tadi.

Perak Berpotensi sebagai Peneraju Industri Herba

“Selain daripada taman herba ini sendiri, kita juga ada beberapa tempat lain di dalam negeri Perak ini yang sesuai untuk kita jadikan sebagai taman herba. “Dunia sekarang ini bercakap tentang makanan berkhasiat dan selamat. Kita melihat potensi negeri Perak dan tempat ini dengan usaha yang dibuat oleh Jabatan Pertanian, potensi untuk kita memaju dan mempertingkatkan pengeluaran herba di negeri ini sangat tinggi,” katanya.

Tambahnya lagi, Jabatan Pertanian turut menganjurkan bengkel yang memfokuskan kepada beberapa objektif utama. “Pertama adalah untuk mengenalpasti herba sedia ada dan herba baharu yang berpotensi. Keduanya adalah tempatnya. “Ketiga adalah mengenalpasti pengusaha-pengusaha yang berminat untuk bersama-sama dengan kita selain mengenalpasti kreativiti,”ujarnya.

Ujarnya lagi,di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Lenggong turut menawarkan kursus yang khusus kepada bidang herba. “Di Lenggong, kita sudah ada Kolej Kemahiran Tinggi MARA yang merupakan satu-satunya IPTA yang menawarkan kursus herba kepada pelajar.

“Seramai 60 orang pelajar telah dipilih untuk sesi pembelajaran pertama yang memulakan pengajian pada Julai lalu. Kita juga mengharapkan sumbangan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kita akan berkoloborasi bersama-sama untuk memajukan industri herba di negeri ini,”jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Pertanian Perak, Zabidi Dun berkata, pihaknya akan memajukan Taman Herba yang sedia ada mengikut saranan Menteri Besar. “Kalau mengikut saranan Datuk Seri Dr Zambry semasa lawatan beliau, kita disarankan untuk menambah fasiliti yang ada di taman ini seperti homestay dan spa seperti yang beliau lihat di luar Negara.

“Kalau kita ada peruntukkan yang kita mohon dalam RMK11 yang akan datang, kita akan buat secara beransur-ansur seperti yang disarankan oleh Menteri Besar,”katanya.Tambah Zabidi lagi, Datuk Seri Dr Zambry turut menyarankan agar diwujudkan unit-unit taman kecil di dalam Taman Herba tersebut.

“Menteri Besar juga menyarankan supaya kita mengadakan unit-unit taman kecil di dalam Taman Herba ini sendiri di mana di setiap unit itu mengumpulkan herba-herba khusus untuk penggunaan tertentu,”katanya

Sumber Asal: http://peraktoday.com.my/2015/09/perak-berhasrat-tingkat-pengeluaran-hasil-herba/